Index» » » » » Syria diancam serangan baru

Syria diancam serangan baru

Selasa, 24 Desember 2013

Serangan kimia meragut nyawa ratusan kanak-kanak di Damsyik.

ISTANBUL - TURKEY. Pembangkang Syria menyuarakan kebimbangan jika rejim Presiden Bashar Al-Assad melancarkan gelombang kedua serangan kimia selepas tiga konvoi dikenal pasti membawa senjata itu.

Jurucakap Majlis Kebangsaan Syria (SNC), Khaled Saleh memaklumkan, dua daripada konvoi tersebut tiba di Ezraa berhampiran bandar selatan Daraa dan Lapangan Terbang Tentera Dommair di pinggir Damsyik, minggu lalu.

"SNC melihat ia sebagai satu ancaman serius kerana maklumat ini diperoleh daripada sumber tentera rejim Bashar," katanya ketika sidang media di Istanbul.

Sebelum ini, Amerika Syarikat (AS) menuduh rejim Bashar sebagai dalang serangan gas beracun di pinggir Damsyik yang telah meragut lebih 1,400 nyawa, 21 Ogos lalu, namun kerajaan menafikan dakwaan itu.  

Selain itu, SNC juga mendakwa tentera kerajaan telah memindahkan pelancar roket dan peluru berpandu serta senjata lain ke kawasan kejiranan di beberapa bandar di seluruh negara.

Menurut Khaled, tiga penduduk di ibu negara telah mengesahkan tindakan tentera Bashar tersebut.

"Seorang lelaki mendedahkan dua anggota Pengawal Republikan memecah masuk rumah kosong miliknya dan menunjukkan dokumen rasmi yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian kerana Syria kini diambang perang," jelas Khaled lagi.  

Dalam perkembangan lain, dua pemimpin Jawatankuasa Senat AS dilaporkan mencapai persetujuan berhubung draf bagi membenarkan operasi ketenteraan di Syria.

Draf resolusi itu turut menetapkan had tindakan tersebut juga hanya boleh dilakukan dalam tempoh 60 hari selain tidak membenarkan pasukan tentera melancarkan serangan darat di negara bergolak terbabit.

Difahamkan, jika ia diluluskan jawatankuasa tersebut, ia akan dikemukakan kepada Senat pada 9 September depan. - AFP



Tidak ada komentar:

Posting Komentar